Monday, May 11, 2020

Bab 1 - Sebiru Langit Hatiku



"Saya,  Mohd Razif bin Ahmad dengan suci hati menceraikan isteri saya, Siti Khadijah binti Abd. Malik dengan talaq satu."

Sehabis lafaz, Razif turunkan tandatangan. Kemudian, Khadijah dan seterusnya hakim yang membicarakan kes mereka.

"Setelah cukup rukun dan berdasarkan lafaz yg telah dilafazkan oleh defendan terhadap plaintif, maka tertalaklah dengan talak satu secara talak raj'ie berbaki dua talak pada hari ini 15 Januari 2020.

Plaintif diarahkan utk beridaah selama 3 kali suci mulai hari ini.. dan perceraian ini hendaklah di daftarkan di bahagian nikah cerai dan rujuk Jabatan Agama Islam Negeri Perlis.

Khadijah dan Razif sama-sama mengangguk. Memahami keputusan yang dibacakan.

Melangkah sahaja keluar daripada dewan bicara, Khadijah tidak menoleh ke belakang lagi.

"Deja." Panggilan itu membantutkan langkah. Dia berpaling ke arah suara itu.

"Nanti, anak kita tu, saya datang tengok."

"Awak bukalah kes hak penjagaan anak. Senang budak-budak tu nak masuk sekolah nanti." Khadijah tenang menyuarakan pendapat.

"Kenapa bukan awak yang buka?"

"Abang, jom lah balik. Nak cakap apa lagi ni?" seorang perempuan yang sejak tadi berkepit dengan Razif ternyata menayangkan wajah tidak senang.

"Ada masa, datanglah ambik budak-budak tu nanti." Deja menguntum senyuman kepada kedua-dua manusia di hadapannya. Seraya itu, berpaling dan kembali menghayunkan langkah meninggalkan mereka.

Turun daripada grab, rumah jirannya, Maziah yang ditujunya dahulu.

"Eh, dah balik? Dah selesai?" soal Maziah dengan simpati.

Dua orang kanak-kanak berlari mendapatkan Khadijah yang muncul di muka pintu.

"Dah, kak. Alhamdulillah." Senyuman sentiasa menjadi untaian manis di wajahnya.

"Perempuan tu ada sekali ke?"

Khadijah mengangguk. Terbayang semula wajah yang dimaksudkan oleh Maziah. Wajah yang berseri-seri sekali di sisi suaminya. Terbit rasa cemburu. Namun, cepat-cepat dia berzikir di dalam hati bagi melupuskan dendam di jiwa.

"Eii.  Geram akak.  Kalau akaklah, mesti dah ganyang perempuan tu." Maziah pamer wajah geram. Penumbuk kanan ditonyoh-tonyoh ke tapak tangan yang sebelah lagi.

Khadijah tertawa kecil melihat ulah Maziah.

"Biarlah kak.  Lagipun, diorang tak salah apa-apa.  Saya yang salah.  Tak pandai jaga rumahtangga saya. Saya yang terlalu banyak kekurangan." Suaranya lembut menyesali salah sendiri.

"Kau ni. Kenapa nak salahkan diri sendiri! Perempuan tu tak patut ambil suami kau!" Seperti batu api, Maziah cuba menghidupkan api kemarahan Khadijah.

Ternyata usaha Maziah sia-sia. Khadijah hanya tersenyum. Redup pandangannya langsung tidak menggambarkan kemarahan. Sekadar bening matanya menzahirkan kesedihan dan kekecewaan.

"Kak.  Saya reda. Saya tahu, Allah sedang tegur saya.  Ada lah tu, dosa-dosa saya yang Allah nak cuci." Dia bersangka baik. Segalanya telah terjadi. Khadijah tidak mahu tergolong dalam orang yang tidak percaya kepada ketentuan Allah.

"Hmmm. Kau ni. Ha, budak-budak ni akak dah bagi makan tadi." Maziah terpaksa mengubah topik.

"La. Akak ni. Susahkan akak ja. Saya minta maaf ya." Khadijah tiada pilihan. Dia tiada siapa-siapa di dunia ini untuknya menumpang. Kanak-kanak tidak boleh dibawa ke dalam dewan bicara. Siapa pula mahu menjaga kalau dibawanya juga ke mahkamah? Mujurlah Maziah bermurah hati untuk mengasuh anak- anaknya sementara dia ke sana.

"Tak apa. Lagipun, kat rumah akak ni bukan ada sesiapa.  Seronok juga budak-budak ni duduk sini."

Melihat Khadijah yang banyak diam, Maziah lanjutkan lagi bicaranya.

"Eh, apa plan kau. Kau kan dah lama berhenti kerja. Kalau nak kerja pun, kau nak pergi dengan apa? Satu apa pun Razif tak tinggalkan untuk kau."

Diam. Khadijah halakan pandangan ke luar. Tepat sekali apa yang diperkatakan oleh Maziah.  Khadijah ditinggalkan sehelai sepinggang. Tanpa sebarang aset, mahupun pendapatan. Rumah yang dijadikan tempat berteduh hanyalah rumah sewa. Pastinya tuan rumah akan menagih sewa setiap bulan tanpa penangguhan.

Hendak mencari kerja, dia tiada kenderaan. Lagipun, berapa sangat gaji kalau ditolak semua perbelanjaan. Apatah lagi, kos menghantar anak ke taska.

"Entahlah kak.  Belum sempat saya fikirkan lagi.  Semua ni berlaku terlalu cepat. Saya tak bersedia apa-apa." Khadijah tunduk mengenang nasib.

"Kesian kau.  Sampai hati Razif buat macam ni."

"Tak apa lah kak.  Saya balik dulu ya. " Dia mendukung anak kecilnya yang baru berusia dua tahun. Sebelah tangan lagi memegang tangan anak perempuannya yang berusia 4 tahun.

"Deja, ni ada duit sikit. Ambiklah buat belanja makan kau anak beranak." Maziah menghulurkan not hijau terang.

"Eh,tak payah akak. Jangan susah-susah. " Khadijah menolak.

" Ambik lah..."

"Saya tak nak kak.  Saya tak nak bebankan sesiapa."

"Ambik. Buat belanja." Maziah tetap memaksa.

"Jangan kak.  Saya tak nak susahkan orang. Saya ada lagi duit untuk makan."

"Anggaplah ni untuk anak-anak kau."

"Terima kasih kak.. Buat susah-susah ja... Saya balik dulu ya." Puas menolak, Khadijah menyambut juga huluran itu. Dia sememangnya tidak mahu terhutang budi dengan sesiapa.  Apatah lagi dengan jiran. Dia takut jika kesusahannya bakal mendatangkan rasa tidak selesa pada mereka.

[Bersambung]


No comments:

Post a Comment