Monday, May 11, 2020

Bab 2 - Sebiru Langit Hatiku



Khadijah ralit meneroka ruang tamu rumah yang menyimpan seribu satu kenangan itu. Rumahtangga yang dibina 6 tahun dahulu ternyata tidak kekal lama. Kebahagiaan yang pernah tercipta, sirna begitu sahaja.

Dia seperti wanita lain, yang pastinya berimpian agar hubungan mereka hingga ke syurga. Seluruh jiwa diperhambakan buat lelaki bernama suami. Disuruh berhenti kerja, kerana sifat cemburu Razif, diturutkan tanpa banyak soal. Kiranya, dia benar-benar mahu menjadi isteri solehah dan ibu terbaik buat anak-anak mereka.

Namun, siapalah dia. Dia hanya hamba yang lemah tidak berdaya. Onak dan ranjau mula menjerut rumahtangganya dengan Razif. Dia tidak menyalahkan Razif atas apa yang terjadi.  Malahan, wanita yang hadir merebut cinta Razif juga tidak menjadi mangsa kebenciannya. Khadijah yakin, semua yang berlaku, mungkin teguran tuhan.  Dia reda.  Cukuplah 6 tahun dia bersuami.  Terasa malu untuk merungut, sedangkan di luar sana masih ramai yang tidak pernah bersuami. Dia malu pada tuhan!

Kolam matanya menakung air jernih. Melihat wajah kedua-dua anak yang masih belum mengerti apa-apa, relung jiwa seorang ibu ranap. Kini, hal-hal semalam dia dengan Razif, hanya akan disimpan sebagai kenangan yang pernah mewarnai sebahagian hidupnya.

Khadijah melepaskan nafas berat. Seberat beban yang mula menghimpit di pundak. Soal makan minum anak-anak mula berlegar di kepala. Dia bangun menuju ke dalam bilik. Diheret bersama Aisyah dan Muhammad.

Kanak-kanak itu berlari-lari di dalam bilik. Sedang Khadijah mencapai tabung di atas meja solek.

Dilabuhkan duduk di atas katil. Tabung itu dibuka penutup di bawahnya.  Berdenting duit-duit syiling berebut keluar. Anak-anaknya tertarik, dan mendekati Khadijah. Bibir mereka bising bersorak melihat duit syiling tersebut. Khadijah usap kepala Aisyah.

"Jangan bising. Ibu nak kira duit ni."

Aisyah dan Muhammad patuh dengan serta-merta. Masing-masing bergayut di katil untuk melihat apa yang dikerjakan oleh Khadijah.

......

Setelah menidurkan Aisyah dan Muhammad, Khadijah termenung di ruang tamu. Dia melihat jam di dinding.  Baru pukul 9. Sememangnya dia akan memaksa budak-budak itu untuk tidur selepas Isyak. Semuanya agar mudah bangun di subuh hari.

Telefon bimbitnya yang sudah retak skrin dicapai.  Sudah 5 tahun usia telefon itu. Tidak pernah bertukar kerana Khadijah bukanlah seorang yang berkehendak tinggi.

Apa yang ada, akan digunakan selagi boleh. Dengan telefon itu, dia membuka akaun Facebook miliknya. Kalau ikutkan sedih, mahu sahaja dia meluahkan rasa di wall Facebook itu. Namun, akalnya cepat bertindak, selajur menghalang jarinya daripada membuka pekung dalam rumahtangga.

Dihela nafas seketika.

Dia menaip sesuatu di ruangan cari.

'Resipi Tauhu Bergedil.'

Hasil cariannya dibuka satu persatu. Ditangkap layar resipi yang dirasakan sesuai untuk dicuba. Tekun dia meneliti semua bahan-bahannya.

Menguap dia ketika jam sudah berada di angka 11. Baru berniat untuk masuk tidur,  ada notifikasi yang timbul.

'Nurul Huda and 27 other people reacted to your post...'

Khadijah cepat-cepat membuka posting yang berkaitan. Ternyata tiada pun like daripada Nurul Huda, kekasih suaminya kini.

Khadijah menguntum senyum. Kepalanya digeleng-gelengkan dengan sifat tidak matang wanita itu.
..........

Usai solat Asar, Khadijah bersama-sama Aisyah dan Muhammad keluar dari rumah dan memasuki halamam rumah Maziah.

Maziah yang sedang bersantai di buaian itu menghadiahkan senyuman dari jauh.

"Kak. Akak ada nak keluar ke kedai petang ni?" usai berbasa-basi, Khadijah meluahkan tujuan sebenar kedatangannya.

"Tak pulak.  Kenapa?" Maziah menyoal balas.

"Boleh saya tinggalkan budak-budak ni? Saya ingat nak ke kedai."

"Kau nak pergi naik apa?"

"Jalan kaki ja kak.  Kedai hujung taman tu ja. Bukannya jauh pun." Khadijah tersengih-sengih.

"Eh, jomlah akak bawakan." Timbul kasihan di hati wanita yang sekali pun tidak pernah berumahtangga itu. Kedai yanh dimaksudkan oleh Khadijah hampir 1 kilometer juga pergi balik.

"Eh,tak payah kak.  Saya tak nak anak ni ikut.  Nanti macam-macam nak dibelinya."

"Kalau macam tu, pakai kereta akak." Maziah mendongak melihat ke langit yang masih galak memuntahkan panasnya biar pun sudah pukul 5 petang.

"Tak apa kak.  Saya nak berjalan aja.  Exercise. Bukannya jauh pun."

"Habis tu barang?"

"Sikit aja saya nak beli."

Maziah terpaksa mengalah. Habis daya untuk memujuk Khadijah. Dia tahu, Khadijah sengaja mencari alasan kerana tidak mahu menyusahkan dia. Dia menghantar langkah Khadijah sehingga hilang kelibatnya.

'Kesian kau dik. Baik pun, suami tinggal.' ujarnya sekadar di dalam hati.

"Aisyah, Muhammad.  Mari masuk. Kita tengok kartun ya?" Didukungnya Aisyah yang baru berumur dua tahun itu. Muhammad mengekor dari belakang.

..........
Bertungkus-lumus Khadijah memotong kentang. Meracik isi ayam.  Hasilnya, masih kurang memuaskan. Masih belum umph rasanya. Seperti kekurangan sesuatu.

Kuah cili hitam itu pula, pahit.

Aduh, di mana silapnya.  Khadijah menggaru-garu kepala. Mujurlah tidak banyak yang dibuat.  Sekadar percubaan.

Tidak berputus asa, Khadijah mula memproses bahan yang baru.  Kali ini, dia menggunakan resipinya sendiri.

Berpeluh dia malam itu, menyiapkan tauhu bergedil. Usai semuanya, keletihan mula menjalar sehingga membuahkan rasa mengantuk.

Mujurlah kali ini, lebih enak. Disumbatkan isinya ke dalam tauhu dan digoreng.  Dibiarkan dua ketul di luar tanpa memasukkan ke dalam peti. Itu untuk menguji tempoh masa yang diambil untuk makanan itu basi.

"Sedapnya. Pandai awak buat kuih." Razif makan popia goreng itu dengan penuh berselera.

"Yalah, tak rugi belajar.  Nanti boleh jual. Dapat juga duit." Khadijah membalasnya sambil tersenyum.

"Tak payah susah-susahlah.  Awak dok saja. Biar saya yang kerja."

Tanpa disangka-sangka, secebis kenangan itu mengundang tawa Khadijah. Dan, tanpa diminta air matanya turut luruh disapa musim rindu.

[Bersambung]


Bab 1 - Sebiru Langit Hatiku



"Saya,  Mohd Razif bin Ahmad dengan suci hati menceraikan isteri saya, Siti Khadijah binti Abd. Malik dengan talaq satu."

Sehabis lafaz, Razif turunkan tandatangan. Kemudian, Khadijah dan seterusnya hakim yang membicarakan kes mereka.

"Setelah cukup rukun dan berdasarkan lafaz yg telah dilafazkan oleh defendan terhadap plaintif, maka tertalaklah dengan talak satu secara talak raj'ie berbaki dua talak pada hari ini 15 Januari 2020.

Plaintif diarahkan utk beridaah selama 3 kali suci mulai hari ini.. dan perceraian ini hendaklah di daftarkan di bahagian nikah cerai dan rujuk Jabatan Agama Islam Negeri Perlis.

Khadijah dan Razif sama-sama mengangguk. Memahami keputusan yang dibacakan.

Melangkah sahaja keluar daripada dewan bicara, Khadijah tidak menoleh ke belakang lagi.

"Deja." Panggilan itu membantutkan langkah. Dia berpaling ke arah suara itu.

"Nanti, anak kita tu, saya datang tengok."

"Awak bukalah kes hak penjagaan anak. Senang budak-budak tu nak masuk sekolah nanti." Khadijah tenang menyuarakan pendapat.

"Kenapa bukan awak yang buka?"

"Abang, jom lah balik. Nak cakap apa lagi ni?" seorang perempuan yang sejak tadi berkepit dengan Razif ternyata menayangkan wajah tidak senang.

"Ada masa, datanglah ambik budak-budak tu nanti." Deja menguntum senyuman kepada kedua-dua manusia di hadapannya. Seraya itu, berpaling dan kembali menghayunkan langkah meninggalkan mereka.

Turun daripada grab, rumah jirannya, Maziah yang ditujunya dahulu.

"Eh, dah balik? Dah selesai?" soal Maziah dengan simpati.

Dua orang kanak-kanak berlari mendapatkan Khadijah yang muncul di muka pintu.

"Dah, kak. Alhamdulillah." Senyuman sentiasa menjadi untaian manis di wajahnya.

"Perempuan tu ada sekali ke?"

Khadijah mengangguk. Terbayang semula wajah yang dimaksudkan oleh Maziah. Wajah yang berseri-seri sekali di sisi suaminya. Terbit rasa cemburu. Namun, cepat-cepat dia berzikir di dalam hati bagi melupuskan dendam di jiwa.

"Eii.  Geram akak.  Kalau akaklah, mesti dah ganyang perempuan tu." Maziah pamer wajah geram. Penumbuk kanan ditonyoh-tonyoh ke tapak tangan yang sebelah lagi.

Khadijah tertawa kecil melihat ulah Maziah.

"Biarlah kak.  Lagipun, diorang tak salah apa-apa.  Saya yang salah.  Tak pandai jaga rumahtangga saya. Saya yang terlalu banyak kekurangan." Suaranya lembut menyesali salah sendiri.

"Kau ni. Kenapa nak salahkan diri sendiri! Perempuan tu tak patut ambil suami kau!" Seperti batu api, Maziah cuba menghidupkan api kemarahan Khadijah.

Ternyata usaha Maziah sia-sia. Khadijah hanya tersenyum. Redup pandangannya langsung tidak menggambarkan kemarahan. Sekadar bening matanya menzahirkan kesedihan dan kekecewaan.

"Kak.  Saya reda. Saya tahu, Allah sedang tegur saya.  Ada lah tu, dosa-dosa saya yang Allah nak cuci." Dia bersangka baik. Segalanya telah terjadi. Khadijah tidak mahu tergolong dalam orang yang tidak percaya kepada ketentuan Allah.

"Hmmm. Kau ni. Ha, budak-budak ni akak dah bagi makan tadi." Maziah terpaksa mengubah topik.

"La. Akak ni. Susahkan akak ja. Saya minta maaf ya." Khadijah tiada pilihan. Dia tiada siapa-siapa di dunia ini untuknya menumpang. Kanak-kanak tidak boleh dibawa ke dalam dewan bicara. Siapa pula mahu menjaga kalau dibawanya juga ke mahkamah? Mujurlah Maziah bermurah hati untuk mengasuh anak- anaknya sementara dia ke sana.

"Tak apa. Lagipun, kat rumah akak ni bukan ada sesiapa.  Seronok juga budak-budak ni duduk sini."

Melihat Khadijah yang banyak diam, Maziah lanjutkan lagi bicaranya.

"Eh, apa plan kau. Kau kan dah lama berhenti kerja. Kalau nak kerja pun, kau nak pergi dengan apa? Satu apa pun Razif tak tinggalkan untuk kau."

Diam. Khadijah halakan pandangan ke luar. Tepat sekali apa yang diperkatakan oleh Maziah.  Khadijah ditinggalkan sehelai sepinggang. Tanpa sebarang aset, mahupun pendapatan. Rumah yang dijadikan tempat berteduh hanyalah rumah sewa. Pastinya tuan rumah akan menagih sewa setiap bulan tanpa penangguhan.

Hendak mencari kerja, dia tiada kenderaan. Lagipun, berapa sangat gaji kalau ditolak semua perbelanjaan. Apatah lagi, kos menghantar anak ke taska.

"Entahlah kak.  Belum sempat saya fikirkan lagi.  Semua ni berlaku terlalu cepat. Saya tak bersedia apa-apa." Khadijah tunduk mengenang nasib.

"Kesian kau.  Sampai hati Razif buat macam ni."

"Tak apa lah kak.  Saya balik dulu ya. " Dia mendukung anak kecilnya yang baru berusia dua tahun. Sebelah tangan lagi memegang tangan anak perempuannya yang berusia 4 tahun.

"Deja, ni ada duit sikit. Ambiklah buat belanja makan kau anak beranak." Maziah menghulurkan not hijau terang.

"Eh,tak payah akak. Jangan susah-susah. " Khadijah menolak.

" Ambik lah..."

"Saya tak nak kak.  Saya tak nak bebankan sesiapa."

"Ambik. Buat belanja." Maziah tetap memaksa.

"Jangan kak.  Saya tak nak susahkan orang. Saya ada lagi duit untuk makan."

"Anggaplah ni untuk anak-anak kau."

"Terima kasih kak.. Buat susah-susah ja... Saya balik dulu ya." Puas menolak, Khadijah menyambut juga huluran itu. Dia sememangnya tidak mahu terhutang budi dengan sesiapa.  Apatah lagi dengan jiran. Dia takut jika kesusahannya bakal mendatangkan rasa tidak selesa pada mereka.

[Bersambung]